KUALA LUMPUR – Mempunyai pekerjaan tetap, memiliki rumah, kereta dan keluarga mungkin menjadi impian bagi kebanyakan orang, tidak kira daripada bangsa dan agama mana sekalipun.

Namun, bagi sesetengah orang, perkara tersebut tidak perlu untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Bagi seorang lelaki yang sempat ditemui MalaysiaGazette baru-baru ini, arak merupakan perkara paling penting untuk meneruskan kehidupan sehariannya.

Mohd Azam, 39, yang berasal daripada Ipoh, Perak berkata, ketagihannya terhadap arak sejak berumur 15 tahun, memberikan pelbagai kesan tersendiri terhadap kehidupannya hari ini.

Yang paling terkesan baginya, apabila ada sebahagian dari ahli keluarga yang memulau beliau. Namun, hidup perlu diteruskan menurutnya.

“Saya mula minum (arak) sejak 15 tahun, berhenti sekolah. Sehari kurang-kurang, saya akan minum 10 tin bir,” katanya ketika ditemu bual.

Walau bagaimanapun, Azam yang menjadikan kaki-kaki lima sekitar kawasan Bukit Bintang sebagai ‘rumah kediamannya’, mendakwa tidak pernah melakukan perkara-perkara yang memberi kesan terhadap orang lain ketika dia minum arak.

Setiap pagi, sebelum melakukan sesuatu pekerjaan, beliau terlebih dahulu perlu mendapatkan satu tin bir sekurang-kurangnya sebagai ‘sarapan’ pagi.

Setiap hari, bermula pada pukul 10 pagi, Azam bertugas menjaga motosikal-motosikal yang diletakkan di petak tempat letak motorsikal sekitar Plaza Low Yat secara sukarela.

Melalui kerja tersebut, Azam mendapat purata RM50 hasil derma atau sumbangan pemilik yang meletak motorsikal mereka di kawasan tersebut.

“Ada yang bagi seringgit, ada yang sepuluh. Tak tentu juga bang. Biasanya kumpul-kumpul, dapatlah lima puluh. Tengok nasib jugalah,” katanya.

Di samping menjaga tempat letak motosikal, pelbagai pekerjaan lain turut dilakukan oleh lelaki ramah tersebut seperti membantu kumpulan pemuzik jalanan (buskers) memasang peralatan muzik di sekitar Bukit Bintang.

Meskipun berasa selesa dengan kehidupan semasanya, anak kedua daripada tujuh beradik itu bagaimanapun, masih berharap agar dapat menjalani kehdupan bersama keluarga, setelah berjaya meninggalkan tabiat minumnya kelak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast