JOHOR BAHRU – Hanya kerana tidak mahu menyertai sebuah kumpulan gengster, seorang pelajar berusia 16 tahun dipukul lima lelaki di Jalan Impian Emas, Taman Impian Emas di sini semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pada 1.05 petang semasa remaja itu berada di hadapan sebuah sekolah dan tiba-tiba didatangi lima lelaki berpakaian biasa di mana mangsa mengenali salah seorang daripada suspek.
Suspek dikatakan memaksa pelajar lelaki berkenaan menganggotai sebuah kumpulan gengster dikenali sebagai Geng Kumpulan.
Mereka memaksa pengadu menganggotai kumpulan gangster yang dikenali sebagai Geng kumpulan.
Bagaimanapun, mangsa tidak mahu berbuat seperti dipinta dan akibatnya remaja lelaki itu dipukul sehingga cedera dan telah dirujuk ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Menurut laporan dibuat mangsa pada hari sama kejadian, ada beberapa orang bekas pelajar yang dibuang sekolah cuba merekrut budak baru untuk menganggotai pertubuhan atau kumpulan tidak sah itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, polid sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.
“Polis tidak akan memberi ruang kepada kemasukan elemen gangsterisme menular ke dalam sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian seumpama itu diminta menyalurkannya kepada polis. – MalaysiaGazette.