Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Rakyat negara ini diminta tidak beremosi dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan anak luar nikah pasangan beragama Islam untuk menggunakan nama mereka sebagai nama keluarga.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata masyakat harus faham beberapa perkara asas sebelum bertindak membahaskan isu ini mengikut sentimen dan emosi masing-masing.

“Khalayak umum melihat keputusan Mahkamah Rayuan hanya berasaskan dari satu sudut perundangan dan perspektif Hukum Sivil semata-mata tanpa mengambil kira roh dan prinsip Syariah dan Maqasid Syariah.

“Anak tidak sah taraf termasuk anak luar nikah hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau lain-lain nama Asma Al-Husna berpangkalkan Abdul.

“Ini kerana Syarak dan Maqasid Syariah amat mementingkan pemeliharaan nasab keturunan yang akan memberi kesan hukum lain seperti aspek keabsahan pergaulan, perwalian, pembahagian harta pusaka, perkahwinan, nafkah dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Asyraf, hukum Islam dalam hal penamaan anak luar nikah ini adalah jelas sebagaimana Garis Panduan Penamaan dan Kedudukan Anak Tidak Saf Taraf Dari Segi Syarak yang diputuskan dan dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang bersidang kali ke-44 pada 25 Jun 1998.

Justeru, masyarakat katanya harus memahami dan mengakui keterbatasan ikatan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa MKI di peringkat Kebangsaan yang sememangnya tiada kuasa ikatan perundangan (legal binding) kerana kuasa agama sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan merupakan kuasa negeri-negeri.

“Fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Negeri setelah diperkenan Tuanku Sultan dan diwartakan, masih perlu diambilkira apabila pertikaian adalah berkaitan dengan hukum Syarak berdasarkan undang-undang yang diluluskan di bawah bidangkuasa Negeri menurut Jadual Kesembilan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

“Lebih mustahak lagi apabila melibatkan kepentingan orang Islam, sudah tentu mahkamah mempunyai tanggungjawab undang-undang, agama dan moral untuk merujuk kepada hukum hakam Syarak,” jelas Asyraf.

Mahkamah Rayuan semalam membuat keputusan itu yang dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan seorang kanak-kanak lelaki tidak sah taraf berusia tujuh tahun dan kedua ibu bapanya. -MalaysiaGazette.