Minta duit rakyat adalah kerja pembangkang.

BILA mahkamah putuskan dia kalah dalam kes saman malu dan dia dikenakan bayar sejumlah wang kepada orang yang difitnahnya, saya mengharapkan dia sedar dan insaf.

Sekurang-kurangnya dia lebih berhati-hati pada masa akan datang untuk tidak buat fitnah lagi.

Tak apalah, itu satu hal. Dia selesaikanlah dengan orang yang difitnahnya tu.

Cuma, yang saya agak ralat dengan sikap Ahli Parlimen ini, apabila dia kena bayar saman, dia boleh kata pulak dia tak ada duit nak bayar. Kononnya, duit simpanan dia dah habis digunakan untuk program Jelajah Bina Semula Negara.

Isyy!!.. tak payahlah susah-susah berhabis duit nak bina semula negara. Negara dah tersedia dibina dengan elok dan molek oleh lima Perdana Menteri terdahulu dan Perdana Menteri sekarang.

Banyak lagi kerja lain perlu kamu buat. Contohnya, mengajak rakyat yang berpecah belah akibat dakyah ideologi politik parti kamu di luar sana agar mereka bersatu semula.

Ajak rakan-rakan pemimpin dalam parti kamu dan parti gabungan kamu supaya sedar dan insaf. Jadilah pembangkang yang berhemah. Jangan tabur fitnah. Jangan tanamkan kebencian rakyat kepada pemerintah sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59:

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”.

Ini tidak. Sepanjang jadi pembangkang, asyik dengan dakyah kebencian. Tuduh menuduh tanpa fakta. Sebab itu kena saman dan kalah.

Bila kamu buat fitnah, orang akan saman. Bila mahkamah dapati tak ada bukti, kamu diputuskan bersalah. Akhirnya kamu kena bayar saman. Sepatutnya, orang macam kamu ini tahu akan risiko fitnah. Kalau kalah mesti ada duit nak bayar saman.

Tapi, kamu tak ada duit. Nak bayar saman tak boleh. Lalu kamu terpaksa tagih simpati orang ramai minta mereka bantu kamu selesaikan saman.

Mudahnya jadi pemimpin macam ni. Kena saman sikit minta duit dengan rakyat. Kamu ingat kerja seharian rakyat cetak duit? Walaupun RM1 seorang, itu adalah duit. Memang tak patut seorang rakyat belanjakan RM1 untuk perkara tidak berfaedah seperti ini.

Kenapa saya kata tidak berfaedah? Sebab, tuduhan kamu kepada orang yang kamu fitnah itu tidak ada kena mengena pun dengan kepentingan rakyat. Dah dia tak buat salah, mahkamah berpihaklah kepadanya.

Lain kali kalau nak dedahkan kepincangan orang, kena buat kajian dulu. Dapatkan maklumat dari sumber yang boleh dipercayai. Kalau dah yakin dengan bukti-bukti yang ada, barulah dedahkan kepada umum.

Orang yang dituduh pun kalau dia tahu dia bersalah dan dapati banyak bukti-bukti yang mengaitkan dengan salah lakunya, gerenti dia tak berani nak fail saman malu.

Ini, apa yang kamu buat ini seolah kamu beri bola tanggung kepadanya. Terus dia smash. Terpelanting kamu sampai ke luar gelanggang.

Rafizi kalah dalam kes saman malu.

Jadi, saya nak nasihatlah kepada saudara Rafizi. Tak payahlah kamu nak tagih simpati minta duit dari orang ramai untuk tanggung jumlah saman yang kamu kena bayar. Rakyat dah cukup menderita sekarang ini.

Banyak lagi rakyat perlu gunakan duit untuk keperluan hidup harian mereka. Tak payahlah bebankan mereka dengan benda-benda kecil seperti ini.

Nak selesaikan masalah kamu dari muflis, kamu minta saja dengan parti kamu PKR atau rakan kamu DAP.

Dua-duanya ada negeri sendiri. Selangor dan Pulau Pinang. Perolehan tahunan pula berbilion-bilion. Setakat kamu nak RM300,000 tu kecil sangatlah pada mereka.

Lagipun, jasa kamu sangat besar kepada mereka. Dakyah kamu, propaganda kamu banyak juga membantu kepada kemenangan rakan-rakan kamu pada PRU sebelum ini. Takkan mereka tak boleh balas jasa kamu.

Saya selalu mengikuti ceramah-ceramah politik saudara Rafizi. Tidak dinafilah, memang ada isu-isu tertentu yang dia bongkar tu berfakta, tapi tidak sedikit pula isi kandungannya diselitkan dengan auta.

Bab minta duit rakyat ni, pembangkang memang juara. Saya nak beri contoh, kerajaan Pas Kelantan nak bina lebuh rakyat, mereka minta duit dengan rakyat. Berbondong-bondonglah rakyat pakat menderma.

Siapa tak nak lebuh raya. Kerana lebuh raya ini akan melancarkan aliran trafik. Mengharapkan dapat lebuh rakyat, rakyat sanggup berkorban harta benda, hatta ayam sedang mengeram pun sanggup sembelih untuk jamu makan pemimpin Pas.

Nak saman Sarawak Report pun Pas minta duit dari rakyat. Terpaksalah rakyat yang taksub dengan perjuangan yang menggunakan nama Islam itu memasukkan duit dalam kantung kain yang dijahit khas untuk isi derma.

Presiden PAN, Mohamad Sabu pun dulunya berisiko berdepan muflis kerana kalah kes saman malu. Juga minta duit dari orang ramai nak bayar saman.

Hari ni, Rafizi pun tiru macam Pas dan abang Mat Sabu. Kalah saman, tak boleh bayar, nak minta duit dengan rakyat.

Mohd Yusof Ghani

Cuba ikut contoh bekas ADUN Nenggiri dari UMNO, Datuk Mohd Yusuf Ghani. Dia tanggung hutang demi untuk jaga kebajikan rakyat, dia tak pernah minta duit orang ramai untuk selamatkan dirinya dari diisytiharkan muflis.

Bahkan, dia rela kehilangan jawatan sebagai ADUN. Dia redha dirinya muflis. Dia sedar had kemampuannya dan dia tahu meminta duit dari rakyat adalah salah dan berdosa.

Jadi, Datuk Mohd Yusuf Ghani selayaknya digelar pemimpin Islam sejati. Kalau nak banding dengan pemimpin Pas yang ada sekarang ini, yang tak lekang dari mulut mendakwa memperjuangkan Islam, dia lebih Islam.

Dia tahu, dia hanya muflis di dunia sahaja. Kalau malu pun, dia hanya menanggung malu di dunia. Di akhirat dia adalah seorang pemimpin yang hebat di sisi Allah. Sebab, sepanjang dia berkhidmat sebagai wakil rakyat, dia berhabiskan duit untuk kesejahteraan rakyatnya, bukan memeras duit rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast