Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan ‘menghumban’ kepimpinan UMNO Selangor yang diketuai Tan Sri Noh Omar ke dalam sungai yang penuh dengan buaya sekiranya gagal merampas negeri itu kali ini.

Menurut , semua kepimpinan UMNO Selangor harus bekerja kuat bagi memastikan penguasaan pembangkang di negeri berkenaan dipatahkan pada PRU-14.

“Kalau Tan Sri Noh, Datuk Nadzari dan Datuk Johan Aziz gagal rampas kembali Selangor, saya akan ikat (dan humban) mereka di Sungai Buaya, Hulu Langat. Bergurau jugak tapi saya akan buat.

“Datuk Nadzari ingat ikut saya percuma sahaja…maknanya saya suruh kerja kuat.

“Tan Sri Noh saya puji dia, dilantik sebagai Menteri KPKT sebab suruh jaga rakyat Selangor. Itu sebabnya kita letak dia di kementerian,” katanya dalam ucapan penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kelana Jaya kali ke 22, di Dewan Budiman, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway hari ini.

Hadir sama, ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Ketua UMNO Bahagian Kelana Jaya, Datuk Yusof H.M Hanif.

Untuk rekod, UMNO Selangor sudah dua penggal menjadi pembangkang di negeri berkenaan sejak tahun 2008.

Dalam pada itu Zahid turut memuji Ketua Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar yang giat menggerakkan jentera parti di seluruh negeri itu bagi menghadapi PRU-14.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang memangku tugas Timbalan Presiden UMNO menegaskan, semua itu tidak bermakna sekiranya hanya Noh yang beria-ia mahu merampas kembali Selangor tanpa pertolongan semua pihak.

“Selalunya sesiapa dapat gelaran Tan Sri, dia akan pencen, itu signal. Tapi Perdana Menteri mahu dia kerja lebih kuat daripada biasa.

“Kalau hanya Tan Sri Noh yang sahaja kerja kuat, mati berdiri dia nanti,” selorohnya sambil disambut ketawa lebih kurang 2,000 ahli UMNO Kelana Jaya hari ini.

Oleh itu, Ahmad Zahid sendiri akan membantu dengan sepenuh tenaga bagi melihat impian untuk merampas Selangor dicapai.

“Di Selangor kita sering diserang. Musuh di luar kita kenal, yang paling menyakitkan adalah kawan yang jadi musuh dari dalam. Terutamanya apabila rasa jadi calon tapi tidak dicalonkan, mula sabotaj parti.

“Saya mahu menangkan Selangor. Saya akan bantu UMNO Selangor, biar pun saya anak Perak tapi saya bertanggungjawab untuk menangkan kerusi yang perlu dirampas semula,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.