Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melintasi penghalang elektronik Stesen MRT Muzium Negara pada lawatan kerja bagi melihat kaedah pengoperasian CCTV dan aspek keselamatan sempena Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 di Stesen Sentral Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 31 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi tempoh satu bulan kepada pihak yang mengendalikan sistem pengangkutan awam untuk meningkatkan kawalan keselamatan.

Beliau berkata, Malaysia Resources Corporation Berhad (MRCB), RapidKL dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) perlu meningkatkan jumlah petugas sebagai langkah jangka pendek dalam kesiapsiagaan kerajaan mengetatkan ciri keselamatan.

“Terdapat beberapa aspek yang saya lihat perlu ditambah baik. Ia berkenaan dengan jumlah personal atau polis bantuan yang menjaga keselamatan orang ramai di stesen-stesen pengangkutan awam.

“Tempoh sebulan yang saya berikan ini bermula hari ini, hari lawatan saya ke Kuala Lumpur Sentral (KL Sentral) bagi meninjau kaedah pengoperasian Kamera Litar Tertutup (CCTV) dan aspek keselamatan,” katanya pada sidang media di KL Sentral di sini, hari ini.

Sebelum itu beliau mendengar taklimat daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Prasarana, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz.

Ahmad Zahid turut menaiki MRT dari Stesen Muzium ke Stesen Merdeka, sebelum berpatak balik ke Stesen Muzium dan KL Sentral.

Ditanya mengenai kegiatan vandalisme di stesen-stesen MRT, katanya, beliau telah mengarahkan CEO Prasarana untuk mengambil tindakan pembaikpulihan serta memikirkan langkah pencegahan.

Mengulas lanjut lawatannya itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan pada dasarnya bersetuju untuk menubuhkan sistem kawalan berpusat untuk melakukan keselarasan dengan sistem sedia ada yang dikendalikan polis.

“Kita akan menubuhkan Jawatankuasa Sasaran Penting yang dipengerusikan KDN.

“Ini menunjukkan kita serius mengambil langkah keselamatan di kawasan yang berisiko menjadi sasaran pihak tertentu demi keselamatan orang ramai.

“Langkah keselamatan menyeluruh yang kita ambil ini bukan sahaja dari penambahan anggota keselamatan, bahkan turut mencakupi teknologi sedia ada.,” katanya. – MalaysiaGazette