Philippe Coutinho
BARCELONA – Philippe Coutinho akan meninggalkan Liverpool dan bakal diumumkan sebagai pemain baharu Barcelona dalam tempoh beberapa jam akan datang.Barca melahirkan keyakinan mendapatkan bintang Brazil itu selepas percaya Liverpool sukar untuk menolak bidaan sebanyak 90.2 juta pound sterling terhadap Coutinho.

Barca mahu memuktamadkan rundingan secepat mungkin untuk mendapatkan penyerang baharu selepas kehilangan Nyemar yang berhijrah ke PSG dengan rekod perpindahan dunia bernilai 198 juta pound sterling.

Mundo Deportivo melaporkan, selepas bidaan pertama ditolak, Coutinho akan berpindah ke Camp Nou jika segalanya berjalan dengan lancar dalam tempoh 24 jam.

Coutinho menjadi buruan Barca dan pada masa sama Liverpool enggan kehilangan pemain kelahiran Brazil itu.

Namun Liverpool dilaporkan bakal memperoleh tawaran tambahan bernilai 18 juta pound daripada kelab gergasi Sepanyol itu sekali gus menjadikan Coutinho sebagai pemain Liga Perdana Inggeris paling mahal setakat ini.

Pemain berusia 25 tahun itu turut dilaporkan bersetuju dengan kontrak lima tahun bersama Barca dan hanya menunggu masa untuk berlepas ke Sepanyol bagi menjalani pemeriksaan kesihatan jika Liverpool memberi lampu hijau kepadanya. – MalaysiaGazette