Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Foto FAREEZ FADZIL

KUALA LUMPUR – Dana yang digunakan untuk menyaman Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown datang daripada sumbangan ahli Pas, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Clare Rewcastle Brown

Timbalan Presiden Pas itu berkata, wang yang digunakan untuk menyamar Clare kerana memfitnah presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan diperoleh daripada sumbangan UMNO, sebaliknya ia dikutip daripada derma orang ramai dalam program yang dianjurkan mereka.

“Jangan takut kita dapat dana dari mana, yang pasti bukan dari UMNO. Kita dah isytihar dalam program kita, ahli Pas wajib memberi sumbangan sebanyak RM5.

“Dalam setiap program kita lancar tabung, jadi duit saman adalah dari poket ahli Pas,” beliau dipetik berkata hari ini dalam satu program di Kuala Lumpur.

Jelas Tuan Ibrahim lagi, sumbangan daripada ahli Pas merupakan bukti kecintaan mereka terhadap parti.

“Ia juga sebagai tanda kemarahan terhadap fitnah yang dilemparkan kepada Presiden Pas,” katanya.

Pada April lalu, Abdul Hadi memfailkan prosiding fitnah terhadap Clare di Mahkamah Tinggi London dan telah menyerahkan saman itu.

Saman itu bertujuan mendapatkan ganti rugi dan perintah injunksi berikutan penyiaran satu artikel dalam portal Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 bertajuk “As Najib Denies All Over 1MDB, Let’s Not Forget His Many other Criminal Connections – COMMENT”.

Artikel itu dikatakan telah mendakwa Abdul Hadi mendapat dana daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada perkembangan terkini, Clare telah diarahkan oleh mahkamah di London untuk bayar £15,000 (hampir RM84,000) terhadap kos prosiding oleh Abdul Hadi, di mana kuantum pembayarannya akan dipantau mahkamah. – MalaysiaGazette