Shahrir Samad

KUALA LUMPUR – Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata sidang Dewan Rakyat kini mengalami ‘zaman pelik’ apabila ada Ahli Parlimen yang sanggup mengemukakan saman terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

“Kita sekarang berada dalam keadaan pelik, bukan sahaja Speaker (Dewan Rakyat) disaman dan dibawa ke mahkamah. Jadi tidak ada benda lah yang tidak boleh dibawa ke mahkamah dan disaman.

“Bila dapat keputusan kata mahkamah tidak adil. Jika mahkamah tidak adil jadi bagaimana boleh bawa ke mahkamah dan disaman.

“Saya rasa kita melalui zaman yang pelik, sikit-sikit nak saman. Saya tidak pernah lalui perkara ini dalam karier politik saya. (Sekarang) Kes saman itu bertalu-talu dan setiap institusi tertinggi pun disaman. Apa kebaikan yang nak dicari (pembangkang). Itulah soal yang bermain di fikiran saya membandingkan ketika saya dahulu dan kini,” katanya kepada media selepas menghadiri pelancaran buku Dasar Buku Negara dan TN50 hasil nukilan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Zohdi.

Buku berkenaan dirasmikan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dari PKR memfailkan saman terhadap Pandikar Amin kerana tidak berpuas hati apabila dua soalannya berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai perkara itu, veteran UMNO tersebut berkata, ia berbeza dengan zaman beliau ketika memegang jawatan dalam kerajaan kerana perkara itu tidak pernah terlintas untuk dilakukan oleh mana-mana ahli parlimen sebelum ini.

“Saya sudah lama terlibat dalam politik, inilah tempoh yang agak pelik kerana mereka yang terlibat dalam politik pun mempunyai perangai yang pelik,” jawab Shahrir lagi.

Tambah Pengerusi Felda itu, semua ahli parlimen tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan perlu lebih arif tentang peranan seorang wakil rakyat.

“Sepatutnya politik itu tentang masa depan yang lebih baik daripada sekarang. Bila kita lihat keadaan sekarang, paling patut adalah mereka patut diadili oleh masyarakat tetapi ada juga rakyat yang suka perkara pelik sebegini,” katanya. – MalaysiaGazette