Rosmah Mansor

KUALA LUMPUR – Menerbitkan sebuah majalah bukanlah sekadar menghasilkan satu wadah bacaan semata-mata tetapi peranannya adalah lebih daripada itu.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menekankan bahawa terdapat satu hubungan yang istimewa antara majalah wanita dan masyarakat. 

“Majalah berkonsepkan wanita boleh diposisikan sebagai mempunyai kelebihan atau peranan penting dalam pemikiran, budaya, nilai dan gaya hidup masyarakat di samping mengetengahkan perbincangan mengenai topik-topik seperti kemodenan, hak-hak asasi dan lain-lain isu sosial semasa, khususnya berkaitan kaum wanita dan kekeluargaan.

 “Oleh yang demikian, saya melihat peranan majalah berkonsepkan wanita ini boleh bertindak sebagai nadi kepada transformasi wanita dan support system kepada komuniti sejagat dalam membawa perubahan kepada landskap pembudayaan keluarga, nilai-nilai murni kekeluargaan yang seterusnya akan memberi kesan jangka panjang terhadap pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Minum Petang sempena 48 Tahun WANITA hari ini.

Pada majlis itu, Rosmah turut dipilih sebagai Anugerah Tokoh Wanita (ATW) yang merupakan majalah terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB), iaitu anak syarikat Kumpulan Utusan.

Dalam pada itu, Rosmah berkata, dalam tempoh sepuluh tahun ini, kaum wanita di Malaysia telah mencatat pelbagai kejayaan yang signifikan lagi membanggakan di peringkat kebangsaan mahupun di persada antarabangsa, sama ada dalam bidang ekonomi, pendidikan, politik, sains kesihatan, sains angkasa mahupun kesenian.

 Jelasnya, antara contoh yang membanggakan, Malaysia berjaya mencapai pariti dari sudut Penyertaan Tenaga Kerja di mana penglibatan tenaga kerja wanita telah meningkat daripada 47 peratus pada tahun 2015 kepada 52 peratus pada tahun 2016.  Katanya, jni jelas menunjukkan dalam sektor pekerjaan, kaum wanita adalah sebahagian daripada modal insan yang berpotensi menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara.

“Secara perbandingan dengan negara-negara ASEAN pula, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang meletakkan sasaran dan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam dan korporat.

 “Sehingga tahun 2016, kita telah berjaya melepasi sasaran dengan pencapaian sebanyak 35.8 peratus wanita di peringkat pengurusan tertinggi di sektor awam, manakala sektor korporat pula hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkan sebanyak 29.9 peratus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast