Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar digesa untuk bersikap lebih jujur dan konsisten dalam kenyataannya berhubung pelanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata tindakan anak sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membantah pelanjutan kontrak tersebut sebagai bermotifkan politik, terutamanya kerana dilakukan ketika beliau sudah mengumumkan hasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Menurut Puad, tindakan Nurul Izzah itu menimbulkan persoalan sama ada bantahannya terhadap Azam Baki merupakan sebahagian daripada manifesto politik bagi meraih sokongan dalam pemilihan parti, ataupun sekadar retorik yang tidak disusuli tindakan konkrit.

“Apakah itu sebahagian manifesto dia merebut jawatan berkenaan atau setakat retorik politik?

“Sepatutnya Nurul Izzah lebih jujur iaitu menyatakan apa dia akan buat jika menang. Apakah dia akan desak ayahnya (Presiden PKR/PMX) batal pemanjangan kontrak Azam Baki?, soal Puad dalam satu kenyataan, hari ini.

Sabtu lalu, Nurul Izzah menyuarakan ketidakpuasan hatinya terhadap pelantikan semula Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk penggal ketiga.

Beliau menyifatkan ianya sebagai satu keputusan yang ‘tidak dialu-alukan’ dan hanya akan menyukarkan usaha membawa perubahan struktur dan budaya dalam institusi penting negara.

Puad juga mempersoalkan komitmen Nurul Izzah dalam perjuangan reformasi institusi, sekiranya selepas menang nanti beliau enggan menyertai kabinet.

Dalam nada yang lebih sinis, Puad mencabar Nurul Izzah untuk membuktikan kesungguhan perjuangannya dengan memikul tanggungjawab sebagai anggota kabinet, jika dipilih oleh rakyat dan parti.

Menurutnya, peluang itu harus digunakan untuk menunjukkan kemampuan sebenar dan melaksanakan agenda reformasi yang sering dilaungkan oleh PKR sejak sekian lama.

“Jika menang, Nurul Izzah dianggap tidak bertanggungjawab jika tidak menyertai kabinet. Keluarganya akan dituduh ada motif lain.

“Jika menang, jadilah menteri. Tunjuk kemampuan kamu buat apa yang kamu cakap. Bagi peluang kepada rakyat untuk menilai. Lawan sampai habis bahawa reformasi institusi itu adalah benar,” kata Puad lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast