SINGAPURA – Harga minyak stabil pada awal Isnin, disokong oleh permintaan yang kukuh dan inventori yang jatuh, tetapi masih di bawah tekanan daripada pengeluaran yang tinggi.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa untuk harga minyak berada pada AS$ 52.08 setong pada 0048 GMT, turun AS$0.02 dari harga penutupan terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula AS$48.85 setong, meningkat sebanyak AS$0.03.

Bank ANZ berkata, harga sedang disokong oleh laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bahawa stok minyak mentah kini berada di bawah tahap 2016.

Meskipun demikian, IEA berkata, stok kekal berada pada 219 juta tong melepasi purata lima tahun – paras yang disasarkan OPEC dalam pengurangan minyak.

Agensi itu juga menaikkan ramalan pertumbuhan permintaan 2017 kepada 1.5 juta tong sehari berbanding 1.4 juta tong dalam laporan bulanannya sebelumnya.

Ia menjangka permintaan berkembang sebanyak 1.4 juta tong sehari tahun depan.

Meskipun permintaan teguh, pasaran kekal mendapat bekalan disebabkan pengeluaran kukuh.

Pengeluaran syal di medan minyak terbesar Amerika Syrikat dijangka meningkat sebanyak 300,000 tong sehari menjelang Disember ini, menurut ramalan industri. – MalaysiaGazette