Notis penutupan kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengarahkan kantin Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditutup selepas didapati tidak mengamalkan amalan penyediaan makanan yang bersih.

“Pada menjalankan kuasa di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, saya sebagai Pegawai yang berkuasa memerintahkan penutupan premis ini mulai 18 Ogos jam 2 petang hingga 1 September depan.

“Atas alasan ianya tidak bersih dan tidak disucikan sehingga munkin mendatangkan bahaya kepada kesihatan orang ramai,” demikian menurut notis berkenaan.

Notis berkenaan diterima pekerja kantin berkenaan Habeeb Mohamed jam 11.02 pagi tadi.

Awal hari ini viral sebuah video memperlihatkan seekor tikus berada di dalam kantin sebuah hospital.

Dalam video berdurasi 32 saat itu, seekor tikus didapati berkeliaran di kawasan penyediaan makanan kantin berkenaan.

Malah tikus terbabit turut dirakam sedang menikmati sayuran yang menjadi antara juadah kepada pengguna di kantin berkenaan.

Pada waktu kejadian, terdapat ramai pelanggan yang berada di situ. -MalaysiaGazette.