Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan parti politik negara ini seperti ayam telur sebiji, riuh sekampung.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, parti politik yang mendakwa memperjuang, membela dan menjaga kebajikan orang Melayu hanya bermusim, bukan dilakukan secara berterusan.

“Perkasa bercakap hal Melayu sejak belum merdeka sehingga kini dan banyak permasalahan dihadapi bangsa ini diperjuangkan beliau sama ada secara bersendirian mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kebaikan Melayu, termasuk bukan Melayu dan bukan beragama Islam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Melayu Perkasa Wilayah Persekutuan di Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Menurut Ibrahim, Perkasa bercakap mengenai Melayu kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, selain kerana Melayu sendiri tidak tahu hendak menjaga diri sendiri.

Katanya, beliau mahu kerajaan membuat pembahagian kek ekonomi secara adil dan seimbang sehingga orang Melayu dapat menikmatinya dan hidup dengan selesa.

“Contohnya, di bandar dan ibu kota, dari segi pemilikan hartanah, mana ada milik orang Melayu. Semuanya milik orang bukan Melayu,” katanya.

Ibrahim menjelaskan, beliau kecewa dengan sikap sesetengah pihak menuduh Perkasa sebagai pertubuhan rasis.

Jelas Ibrahim, mereka yang membuat dakwaan itu adalah dalam kalangan berpendidikan tinggi dan berpangkat besar.

“Tak apalah mereka hina kita, mereka pandang rendah kita. Yang penting, Perkasa telah menjalankan tanggungjawabnya dengan baik kepada bangsa Melayu.

“Untuk pengetahuan rakyat di luar sana, parti politik yang anda sokong dan puja ini hanya bercakap soal bela Melayu untuk jangka pendek sahaja. Mereka bising ketika dekat pilihan raya umum,” ujar beliau. – MalaysiaGazette