Foto Instagram malaysiaroyalfamily

KUALA LUMPUR – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin wajar menjadi kebanggaan rakyat dan negara selepas berjaya meraih dua pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) dalam acara sukan kuda lasak kategori individu dan pasukan, semalam.

Menunggang kuda dikenali Rtes Annaversary, Sultan Mizan membuktikan kehebatannya apabila turut mencipta rekod baharu dalam kategori individu.

Baginda yang memakai jersi nombor 111 memulakan perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) pada pukul 3 pagi Ahad di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong.

Cukup mengagumkan, bekas Yang di-Pertuan Agong ke-13 itu  membenam rekod tiga jam lebih awal untuk menamatkan perlumbaan.

Baginda yang tiba di garisan penamat pada 8.18 pagi dengan catatan masa tiga jam 48 minit 38 saat, meleburkan rekod atlet Malaysia iaitu pemenang pingat emas Sukan SEA 2013 di Myanmar, Mohd Sulaiman Muda yang mencatatkan enam jam 26 minit.

Lebih istimewa penyertaan baginda adalah pertama kali dalam sejarah Sukan SEA.

Bercakap kepada media, Sultan Mizan bertitah, kerja keras sepasukan menjadi kunci kejayaan pasukan negara.

“Kami bekerja rapat, bergerak bersama dan strategi kami menjadi. Sekalipun ia perlumbaan yang panjang, ia tidak menjemukan atau meletihkan.

“Saya mahu mengucapkan tahniah kepada semua tidak kira jurulatih, pengendali kuda, pakar veterinar, pegawai dan kerajaan negeri kerana membantu kami mencapai sasaran dan bekerja tanpa jemu bagi memastikan kejayaan serta kelancaran perlumbaan ini,” titahnya. – MalaysiaGazette