KUALA LUMPUR – Sejak Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bermula, ramai pula atlet yang mencuri perhatian masyarakat Malaysia.
Mungkin ramai yang tidak menyangka, segilintir atlet wanita negara memiliki kecantikannya setanding dengan artis tempatan mahupun model.
Selain atlet pasukan bola jaring, yang lain adalah Nur Izwani Azman atau lebih dikenali dengan nama Niena Azman yang telah melibatkan diri dengan sukan futsal sejak 2004 .
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Malaya merupakan penjaga gol futsal.
Niena kini mula mencuri perhatian peminat sukan kerana paras wajahnya yang ayu dan menawan biarpun menampilkan aksi agresif di gelanggang.
Namun yang penting, kegigihannya memilih bidang sukan telah membuahkan hasil.
Sebelum KL2017 bermula, nama Niena menjadi sebutan apabila dia dikatakan melanggar disiplin sewaktu kem fasa akhir perhimpunan atlet Malaysia.
Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil memberi penjelasan mengenai dakwaan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, pemain berkenaan tidak melanggar perintah berkurung keluar dari bilik melebihi pukul 11.30 malam di Hotel Renaissance Kuala Lumpur.
“Siasatan dilakukan persatuan dengan penjelasan daripada pemain itu sendiri serta ketua jurulatih skuad futsal wanita kebangsaan, Muizzudin Haris dan pengurus pasukan, Shafizah Umamah Abdul Mutalib beserta bukti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) mendapati bahawa Nur Izwani telah pun meninggalkan lobi hotel selepas berjumpa saudaranya dan menuju ke lif pada jam 10.55 malam untuk naik ke biliknya,” katanya.
Dalam pada itu, Niena juga dikatakan merupakan kekasih kepada pemain kumpulan Kristal, Rody. – MalaysiaGazette