KUALA LUMPUR – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjelaskan kehadirannya dalam Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kesihatan (KKM) kelmarin bukannya selaku artis undangan rasmi persembahan sebaliknya sebagai tetamu.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 46, menafikan dakwaan beliau dibayar untuk membuat persembahan pada acara tersebut.
“Saya datang ke majlis KKM sebagai tetamu dan bukan artis yang diundang membuat persembahan. Saya menyanyi kerana mahu menghargai warga KKM atas rela hati dan tanpa bayaran,” katanya di sini semalam.
Sebelum itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi perkongsian di Facebook memuat naik foto artis yang dijemput dalam majlis berkenaan bagi menghiburkan tetamu termasuk Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

Mengulas lanjut, ibu kepada dua cahaya mata itu tampil membuat penjelasan mengenai isu berkenaan bagi memastikan tiada pihak menyebarkan fitnah yang mengaitkan dirinya.
“Saya tidak mahu lebih ramai memanjangkan fitnah apabila nama saya dipetik dalam berita atas nyanyian saya di majlis semalam (kelmarin).
“Penjelasan ini penting supaya anda tidak membuat penulisan, berita dan menyebarkan nama atau gambar saya dengan sesuatu tidak sahih beritanya,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Dzulkefly menerusi hantaran di X semalam turut mengesahkan kedua-dua artis tersebut hadir sebagai tetamu dan membuat persembahan tanpa bayaran.
Menurutnya, ia bagi menghormati peranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pekerja kesihatan KKM dan tetamu lain yang merupakan sebahagian daripada ekosistem penjagaan kesihatan negara.
“Kritikan yang diterima adalah adil. Semoga ini menjadi peringatan kepada semua. Kami akan terus berusaha untuk menangani isu sistemik untuk pekerja kesihatan kami, itu komitmen saya,” ujarnya. – MalaysiaGazette