Home Utama Murid Tahun 1 dipukul sampai mati

Murid Tahun 1 dipukul sampai mati

Gambar hiasan

KAPIT – Seorang murid lelaki Tahun Satu di sebuah sekolah berasrama di Bahagian Kapit meninggal dunia di Hospital Sibu pada petang semalam dipercayai akibat dibelasah seorang murid Tahun Enam sekolah itu Selasa lalu.

Mangsa dikatakan telah ditumbuk di bahagian kepala dan disepak di bahagian badan dan mulutnya ditekup dengan sehelai selimut.

Mangsa, Jackson Nuing Awe dikejarkan ke Hospital Sibu oleh sekolah selepas dia tidak sedarkan diri pada Selasa lalu.

Kanak-kanak malang itu bagaimanapun menghembuskan nafas pada pukul 3.30 petang semalam.

Tubuh badan dilaporkan bengkak akibat dipukul.

The Star melaporkan mangsa di pukul di sebuah bilik di sekolah pada malam Isnin oleh murid Tahun 6 selepas mangsa didakwa mengejeknya.

Murid itu dikatakan telah menumbuk dan menendang mangsa dengan tangan dan kakinya, dan menggunakan selimut untuk menutup mulut mangsa ketika menyerangnya.

Seorang pembantu pentadbir asrama, yang membuat pemeriksaan mengejut di sekolah kira-kira pukul 5.30 pagi pada hari Selasa mendapati Jackson sudah tidak sedarkan diri.

Suspek telah ditahan tetapi dibebaskan dengan jaminan polis kerana akan menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Dev Kumar mengesahkan kejadian itu. – MalaysiaGazette