foto Facebook Johore Southern Tigers

KUALA LUMPUR – Tindakan berjiwa besar Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang pergi mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meskipun dalam kesibukan Sukan SEA, perlu diberi pujian.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos ketika dihubungi MalaysiaGazette percaya, perjumpaan tersebut berjaya menamatkan ‘ketegangan’ antara mereka.

“Saya menyanjung tindakan saudara KJ ini, bila dia lihat ada perkara yang bawa ketegangan , atau murkanya duli yg mulia Sultan Johor, dia segera pergi berjumpa.

“Apa pun ceritanya, dia sama dia sahaja yang tahu, semestinya KJ sebagai rakyat, meskipun beliau seorang menteri, beliau akan mengadap sultan, kerana raja tetap raja.”

Pertemuan antara Khairy dan Sultan Ibrahim bersama Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menyaksikan bahawa Khairy melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pemimpin masyarakat untuk bertanggungjawab tentang sesuatu perkara yang melibatkan pihaknya.

Tambah Jamal, beliau yakin dan percaya dengan kemurahan hati pihak istana Johor sedia mengampunkan kesilapan sama ada secara sengaja atau tidak daripada pihak Khairy.

Justeru, harapan Jamal agar pada masa akan datang, konfrantasi yang melibatkan pihak istana dengan mana-mana pihak dari kalangan rakyat termasuk menteri, diharap tidak lagi berlaku.

Semalam, Khairy dilaporkan mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang turut ditemani Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Ia disebarkan melalui status Facebook Johor Southern Tigers.

Pertemuan tersebut sejurus selepas beberapa hari Sultan Ibrahim mencabar Khairy untuk mengadakan perlawanan Polo bersama pasukan yang terdiri daripada dua puteranya bagi membuktikan kejantanan Khairy.-MalaysiaGazette