KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan, Datuk Seri Hasan Malek akan membuat penampilan khas dalam sebuah filem komedi romantik berlatarbelakangkan Adat Perpatih berjudul This Is Pilah.

Filem itu dijangka ditayangkan tahun depan.

Filem terbitan Madness Films Sdn. Bhd. (Madness Films) arahan Rosdi Md. Dali itu bakal memulakan penggambaran bulan depan.

Pengasas Madness Films, Shafirul Nizam Haron berkata, filem yang menelan belanja hampir RM1 juta dan menggunakan sepenuhnya dialek Negeri Sembilan.

“Pelakon lelaki utama ialah penyanyi rap tempatan, Juzzthin, manakala pelakon utama wanita masih `misteri’. Filem ini akan turut dibintangi artis lain berasal dari Negeri Sembilan antaranya Waris dan Ito.

“Hassan akan berlakon sebagai pelakon jemputan dan kami juga sedang berunding untuk mendapatkan kartunis Ujang dan Syamsul Debat berlakon filem ini,” katanya memetik laporan Utusan Online hari ini.

Sementara itu, Hasan yang juga Duta Besar Malaysia Ke Kemboja menyambut baik penerbitan filem itu kerana secara tidak langsung mempromosikan Kuala Pilah dan keunikan Adat Perpatih Negeri Sembilan.

“Jika penerbit fikir saya sesuai untuk berlakon dalam filem ini, saya akan cuba berikan yang terbaik untuk Kuala Pilah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah .

Filem This Is Pilah berkisar tentang hasrat seorang pemuda dari daerah ini mahu berkahwin dengan gadis idamannya, namun dihalang bapa wanita berkenaan kerana kedua-dua mereka berlainan suku. – MalaysiaGazette