KUALA LUMPUR – Laungan merdeka oleh Tunku Abdul Rahman pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka sudah pasti satu peristiwa bersejarah.
Malah ramai generasi muda hari ini tidak berkesempatan untuk melihat dan merasai suasana kemerdekaan seperti itu.
Bagi membangkitkan rasa yang sama, sambutan hari kebangsaan kali ini bakal menyajikan semula detik-detik Bapa Kemerdekaan melaungkan kata keramat itu/
Sambutan Hari Kebangsaan ke-60 pada 31 Ogos ini bakal mencipta sejarah tersendiri apabila peristiwa sebenar 31 Ogos 1957 itu akan bakal dilakonkan semula.
Setiausaha Bahagian Pengurusan Acara Jabatan Perdana Menteri, Rozainor Ramli berkata, pada sambutan kali ini pihaknya akan melakonkan semula, mengimbas kembali apa yang berlaku pada sambutan kemerdekaan pertama.
“Sebaik mungkin kita akan melakonkan kembali suasana seakan-akan Stadium Merdeka yang menjadi saksi merdeka di Dataran Merdeka ini pada Khamis ini.
“Peristiwa dimana zaman bapa kemerdekaan kita Tunku Abdul Rahman diarak dengan kereta Wintage disambut pelakon akan dilihat sendiri rakyat.
“Yang akan menjadi kejutan manis ialah dua tokoh yang menaikkan bendera Malaya pertama kali pada 31 Ogos 1957, Leftenan Komander (B) TLDM Mohamed Sharif Kalam yang kini berusia 80 tahun dan dua rakannya Oliver Culvelt Samuel dan Awang Mohd. Salleh akan muncul dan menaikkan bendera Jalur Gemilang,” katanya kepada pemberita semasa taklimat media di Dataran Merdeka petang tadi.
Tambah Rozainor lagi, lakonan akan dimulakan dengan suasana zaman zaman penjajahan Jepun, British dan mencapai kemerdekaan selain isu komunis dan pembentukan Hari Malaysia pada 16 September 1963.
Malah jelas beliau, dalam sambutan yang sama, acara pelepasan burung merpati juga akan diadakan.
“Pelepasan burung merpati akan dilakukan oleh Puan Rusnah Aksah yang juga penerima pingat Hang Tuah pada tahun 1962 yang melepaskan burung merpati putih semasa pembentukan Malaysia pada tahun 1963 dan beliau akan melakukan perkara yang sama pada Khamis ini.
“Justeru, kita juga akan menyaksikan kehadiran waris bapa kemerdekaan kita, waris Tun Tan Cheng Lock yang mana keluarganya sudah ditemui tetapi masih menunggu jawapan tentang kehadiran mereka dan Tun Sambanthan iaitu Toh Puan Uma Sambanthan dan anak perempuannya, Devakunjari.
“Kali ini kita akan membuat kejutan kepada semua iaitu pemimpin menyerupai Tunku Abdul Rahman yang akan dibawa menaiki kereta tahun 1951 Nash Rambler convertible bernombor pendaftaran M4442 digunakan di Melaka, siapa pemimpin itu rahsia sehingga hari sambutan nanti,” ujarnya lagi.
Malaysia Gazette difahamkan, kereta klasik Rolls Royce 1950 Phantom akan digunakan untuk membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor ke sambutan kali ini.
Kereta yang sama digunakan oleh Tunku membawanya ke Dataran Merdeka pada tahun 1957.
Selain itu, Rozainor memberitahu, pihaknya mahu sambutan unik kali ini dapat menyedarkan generasi muda kita betapa ikhlasnya perjuangan tokoh kemerdekaan dan suasana sambutan dapat dirasai semula.
Mengulas mengenai latihan raptai sempena sambutan kali ini, katanya, ksemuanya berjalan lancar dan terdapat perkembangan positif daripada segi persiapan.
Menurutnya, hampir 20,000 orang dijangka hadir memeriahkan sambutan kali ini dan lebih 400 orang akan menyertai persembahan sambutan kemerdekaan di Dataran Merdeka.
Sembilan segmen terdiri daripada perarakan sebanyak 26 kontinjen antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pancaragam Polis Diraja Malaysia, gabungan pelbagai agensi termasuk tiga aset ATM serta kontinjen Sukan KL 2017 dan persembahan kanak-kanak Permata Negara.- MalaysiaGazette