KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia menafikan dakwaan pihaknya menyaman individu hanya kerana memasang pelindung matahari (sun shade) di cermin kenderaan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner, Megat Mohd. Aminuddin Megat Alias berkata, kenderaan tersebut sebenarnya ditahan kerana kesalahan cermin gelap.
“Gambar sun shade yang ditularkan itu adalah gambar yang di ambil dari laman web google dan bukanlah gambar sebenar kenderaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Megat Mohd. Aminuddin, pihaknya memandang serius aduan tersebut dan akan menjalankan siasatan terhadap mana – mana pihak yang menyebarkan gambar berkenaan.
Tindakan menyebar maklumat palsu boleh diambil di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyebar atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut boleh menjejaskan kententeraman awam dan membangkitkan keresahan masyarakat.
“Perbuatan ini sengaja dilakukan dengan maksud untuk memburuk-burukkan imej dan kredibiliti PDRM,” katanya
lagi.
Sebelum itu, tular di media sosial, anggota trafik IPD Serdang menyaman seorang individu yang hanya memasang sun shade pada cermin kenderaannya.
Menurut Megat Mohd. Aminuddin, semalam lebih kurang 3.00 petang, semasa sepasukan anggota trafik IPD Serdang sedang menjalankan operasi di Jalan Serdang Perdana telah menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
Kenderaan yang dipandu oleh seorang lelaki Cina itu didapati bersalah kerana memasang plastik gelap yang melanggar undang-undang.- MalaysiaGazette