DAP punca Malaysia berbelah bagi sokong Rohingya – Jamal

KUALA LUMPUR – Pemimpin Pertubuhan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos mendakwa DAP menghalang hasrat ahli-ahli pembangkang untuk menyertai himpunan aman di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, terdapat beberapa orang dari PKR, PPBM dan PAN yang mahu menyertai kumpulannya untuk bersama-sama berdemonstrasi di Kedutaan Myanmar dan Wisma PBB itu namun mengadu dihalang oleh pimpinan DAP.

“Saya dihubungi oleh rakan PKR, BERSATU dari sebelah sana nak besama sekali tapi dihalang oleh DAP. Saya tak tahu kenapa PH tak benarkan PKR, BERSATU, untuk bersama kami menunjukkan solidariti, tunjuk dukacita terhadap penindasan terhadap kekerasan Myanmar terhadap Rohingya.

“Meskipun kami berbeza fahaman politik, tapi kami boleh duduk semeja sebenarnya. Perbincangan kami pasal nak bersolidariti untuk isu rohingya ini. Mereka mahu datang (demonstrasi) tapi mereka maklumkan mereka dihalang oleh DAP.”

Ketika ditanya alasan yang diberikan oleh DAP berkenaan halangan tersebut, Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar itu membayangkan kemungkinan sentimen agama atau parti mungkin menjadi faktor kepada halangan tersebut.

Justeru, Jamal menggesa rakyat negara ini agar sama-sama menyatakan bantahan berkenaan isu kemanusiaan yang melanda teruk etnik Rohingya tanpa ada sempadan politik kepartian, bangsa atau agama. – MalaysiaGazette