Home Nasional 3 individu terlibat aktiviti pengganas ditangkap

3 individu terlibat aktiviti pengganas ditangkap

KUALA LUMPUR – Tiga rakyat Malaysia ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti kumpulan pengganas Daesh dalam operasi yang dijalankan antara 8 hingga 10 September lalu oleh Bahagian Counter Terrorism.

Operasi itu dilancarkan di Perak, Selangor dan Melaka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, suspek pertama yang ditangkap merupakan seorang penganggur yang mengaku berhubung dengan anggota Kumpulan Al-Qaeda dan Abu Sayyaf.

Suspek yang berusia 21 tahun itu mengaku telah membuat tiga percubaan menghasilkan bom buatan sendiri selepas mendapat tunjuk ajar daripada Dr. Mahmud Ahmad yang menyertai kumpulan Daesh di selatan Filipina dan pakar bom dari Arab Saudi.

Malah, suspek juga menerima arahan daripada warga Malaysia yang menjadi anggota kanan kumpulan Daesh di Syria untuk membeli pistol Rifle M-16 dan AK-47 serta bom tangan dari negara jiran bagi melancarkan serangan ke atas orang-orang bukan Islam dan tempat ibadat mereka di negara ini.

Polis turut merampas bahan-bahan kimia bagi menghasilkan IED dalam serbuan di rumah suspek.

Mohamad Fuzi berkata, suspek kedua yang ditahan pada 10 September lalu adalah seorang penjual cendol, berusia 38 tahun yang aktif mencetak dan mengedarkan bendera kumpulan Daesh bagi mempromosikan pengganas itu.

Suspek telah merancang untuk menyertai kumpulan Daesh di selatan Filipina dan kumpulan militan di Rakhine, Myanmar.

Dalam operasi itu polis juga menangkap seorang pemandu bas, 41 tahun kerana merancang menyertai kumpulan Daesh di Syria akhir tahun ini.

Kesemua mereka itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA – Kesalahan Berkaitan Dengan Keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – MalaysiaGazette