ISKANDAR PUTERI – Tindakan licik sindiket penipuan tawaran pekerjaan dalam talian berjaya ditumpaskan dalam serbuan di kawasan Horizon Hills, di sini, pada 23 September lalu.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, serbuan dilakukan di sebuah tempat operasi pada pukul 12.30 tengah hari itu membawa kepada penahanan 20 suspek.
“Semua suspek adalah lelaki warganegara asing berusia 21 hingga 36 tahun. Mereka disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan tawaran perkerjaan atas talian.
“Mereka menyasarkan warga asing di luar negara sebagai mangsa. Pihak polis turut merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan seperti komputer dan telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, modus operandi mereka adalah dengan berhubung dengan mangsa secara dalam talian melalui platform untuk mencari kenalan.
Mereka juga katanya, menggunakan taktik Love Scam bagi memperdayakan mangsa untuk menyertai pekerjaan secara dalam talian dengan menjanjikan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat.
“Mangsa yang berminat kemudian akan diberikan akses kepada laman web yang kononnya memaparkan keuntungan yang diperoleh setiap tugasan dilakukan.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah gagal mengeluarkan wang keuntungan diperoleh sebagaimana dipaparkan dalam laman web berkenaan walaupun telah membuat sejumlah pembayaran sebagaimana diarahkan,” ujarnya.
Menurutnya, semua suspek akan didakwa bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Jika sabit kesalahan kata Kumar, boleh dipenjara sehingga enam bukan atau denda atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette
















