Bapa saudara mangsa Faizal Abdul Aziz (tengah) kelihatan sebak berkaitakan kejadian yang meragut nyawa 22 pelajar dan dua warden Pusat Tahfiz di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Seorang bapa saudara mangsa menceritakan bahawa api marak menerusi pintu keluar di tingkat atas menyebabkan mangsa gagal keluar.

Menurut Faizal Abdul Aziz, maklumat yang diterimanya mendapati api mula marak di pintu keluar tingkat terbabit ketika kejadian.

“Ketika kejadian, api marak di pintu keluar dan mangsa tidak dapat keluar.

“Bila pintu masuk ada ditengah-tengah, mereka tidak boleh keluar sekali kerana api sudah marak. Nak keluar melalui tingkap pun tak boleh kerana ada grill,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Bapa saudara kepada dua pelajar tahfiz itu berkata, ketika kejadian anak saudaranya dipercayai berada di tingkat dua sekolah tahfiz berkenaan bersama rakan-rakannya.

“Dalam tingkat yang sama ada kanak-kanak dalam lingkungan tiga tahun dan dewasa.

“Ia disebabkan mungkin litar pintas, tapi kami sedang tunggu hasil siasatan pihak bomba,” katanya lagi.- MalaysiaGazette