Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika mengaminkan doa semasa pengebumian allahyarham adik Muhammad Aidil Aqmal Mohd Zamzuri,10, salah seorang mangsa tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI) yang mengetuai kumpulan pengurusan jenazah mangsa kebakaran Pusat Tahfiz
Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) semalam melakar sejarah tersendiri.

Ini kerana menurut pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh, pihaknya dengan kerjasama pihak lain berjaya menguruskan 23 jenazah itu pada kadar tiga jam 15 minit.

Purata masa untuk menguruskan seorang jenazah hanya mengambil masa lebih kurang lapan minit sahaja.

“Pencapaian ini dapat dicapai hasil kerjasama berpasukan serta sokongan padu oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membantu melicinkan lagi urusan pengurusan jenazah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Abdul Aziz, JAWI mengucapkan terima kasih kepada seluruh
pihak yang terlibat samada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu
menguruskan jenazah-jenazah terbabit.

Agensi-agensi yang turut serta ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Kor Agama Angkatan Tentra, Jabatan
Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Dewan Bandaraya
Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur.

Secara keseluruhanya, semua mangsa yang dikebumikan di sekitar Lembah Klang termasuk di Seremban, Negeri Sembilan selamat dikebumikan sebelum jam 10 malam.

Manakala jenazah yang dikebumikan di Pengkalan Kubor, Kelantan selamat disemadikan lebih kurang jam 3 pagi.

Pihak JAWI juga mendoakan agar seluruh anggota keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyyah diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian Allah.- MalaysiaGazette