Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Ahmad Shabery Cheek

KUANTAN – Kemasukan semula bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhamad Taib ke pangkuan UMNO membuktikan pembangkang hanya indah khabar daripada rupa, kata anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata walaupun ada pihak yang menyifatkan kepulangan Muhammad kepada parti keramat orang Melayu itu sebagai perkara biasa, namun ia seharusnya dilihat daripada perspektif yang lebih luas.

“Kita kena lihat kenapa orang tinggalkan pakatan pembangkang dan bukan hanya Mat Taib (Muhammad) yang buat demikian..sebelum ini, beberapa nama juga telah mengumumkan mereka keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

“Ertinya, apa yang disebutkan sebagai keindahan dalam pembangkang tidak benar menyebabkan bila mereka sudah ke sana akhirnya kembali semula ke UMNO,” katanya.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Nelayan Kuantan di Kompleks Lembaga Kemjuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden UMNO mengumumkan bahawa Muhammad, 72, kembali semula ke pangkuan UMNO selepas lima tahun meninggalkan parti itu dengan menyertai PAS pada 2013 dan menyertai PKR, dua tahun kemudian.

Seorang lagi anggota MT UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin menyifatkan tindakan sesetengah pihak mempertikaikan sidang media khas mengumumkan kemasukan semula Muhammad adalah perbuatan mereka yang tidak memahami kedudukan individu itu.

Katanya, Muhammad merupakan satu nama besar dalam politik dan pernah menjawat jawatan sebagai naib presiden UMNO, menteri dan merupakan Menteri Besar Selangor yang memacu pembangunan negeri itu.

“Malah, masa beliau (Muhammad) sertai PAS, mereka juga adakan sidang media..begitu juga semasa beliau masuk PKR, begitu juga semasa Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) kembali menyertai UMNO pada 2009, beliau serahkan borang keahlian kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sedangkan beliau boleh berbuat demikian dengan ketua cawangan.

“Ini disebabkan mereka adalah nama-nama yang dikenali dalam politik. Jadi tidak salah untuk kita (UMNO) adakan sidang media untuk mengalu-alukan kepulangan mereka,” katanya.

Mohd Sharkar yang juga pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang menambah kepulangan Muhammad juga dapat membantu UMNO untuk menawan semula Selangor memandangkan beliau sudah mengetahui gerak kerja PAS dan PKR.- BERNAMA