Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin tiba di Mahkamah Rayuan bagi memberi keterangan pada prosiding siasatan kes kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia di Istana Kehakiman, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 19 SEPTEMBER 2017.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengambil pendekatan bahawa saksi ke 25, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ishak Tadin tidak layak untuk memberikan keterangan.

Pegawai pengendali RCI, Datuk Suhaimi Ibrahim selepas itu memanggil anak kedua Ishak, Rizal Ishak untuk memberikan gambaran penuh mengenai keadaan bapanya.

Menurut Rizal, bapanya mengalami masalah kesihatan untuk mengingat semula perkara yang pernah dijalankan beliau.

“Saya ada beritahu RCI tengah cari saksi. Bapa saya hadapi masalah untuk ingat semua pekerjaan beliau.

“Semua aktiviti semasa kerja tidak dapat diingat. Itu yang saya cadangkan kepada panel untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dipanggil Suhaimi.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dijadualkan memanggil hanya seorang saksi hari ini.

Nama Ishak disebut bekas auditor di Pejabat Ketua Audit Negara, P. Kanason Pothinker ketika beliau memberikan keterangan pada 29 Ogos lalu.

Kanason sebelum ini ada menyebut wujud ‘pihak atasan’ mengarahkannya tidak campur tangan dalam sebarang urusniaga tersebut.

Malah beliau turut berkata, arahan itu dimaklum seorang wakil dari Pejabat Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohamed Saaid.

Kanason ketika itu meminta penjelasan mengenai Seksyen 31, Akta Bank Negara Malaysia 1958 berhubung urusniaga mata wang asing tersebut.

Ketika memberikan keterangan, Kanason berkata, semasa perbincangan, Ainum ada memberitahu beliau bahawa urusniaga forex itu dibuat tidak mengikut proses dan tidak mengikut syarat yang diperuntukkan Akta Bank Negara 1958.

Katanya, perkara itu dimaklumkan kepada Ketua Audit Negara ketika itu, Ishak tetapi jawapan bertulis yang dijanjikan oleh Ainum tidak pernah diterima.

Sesi pendengaran RCI akan berakhir pada Khamis ini.

Panel yang diketuai Pengerusi Petronas, Mohd Sidek Hassan, akan membentangkan penemuannya kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad ke-V pada 13 Oktober depan. -MalaysiaGazette

Comments are closed.