Keadaan kapal KLM Star One yang membawa muatan perabot dan barangan runcit yang mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kebocoram dan dimasuki air di Perairan Benut di Pontian.

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyelamatkan 10 kru termasuk nakhoda KLM Star One ekoran kapal berkenaan mengalami kerosakan dan dimasuki air di Perairan Benut di Pontian pada 3 pagi ini.

Dalam kejadian itu, kapal yang membawa muatan perabot dan barangan runcit dari Batu Pahat menuju ke Batam, Indonesia itu dilaporkan mengalamai kerosakan pada sisi sebelah kanan mengakibatkan kapal itu bocor sehingga air masuk dengan cepat.

Pengarah Maritim Daerah Johor Bahru (DM 6), Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, bilik operasi DM 6 menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 1.46 pagi dan menggerakkan sebuah bot dan kapal bagi menjalankan operasi menyelamat.

“KLM Star One mengalamai kerosakan pada sisi kapal sebelah kanan yang mengakibatkan kapal tersebut mengalami kebocoran yang besar dan air masuk dengan cepat.

“Semua kru warganegara Indonesia yang berusia 24 tahun hingga ke 49 tahun diselamatkan sebelum dibawa ke Pejabat DM 6 untuk tindakan lanjut termasuk menunggu wakil Konsulat Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan segera sekiranya berlaku sebarang kemalangan di laut supaya tindakan menyelamat dapat digerakkan segera.

Tambahnya, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Daerah Maritim Johor Bahru di talian 07-2199496 atau 010-3211066 untuk sebarang aduan kesalahan atau jenayah di laut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast