PETALING JAYA – Keamanan dan keharmonian yang dikecapi rakyat pelbagai kaum di negara ini semakin terhakis akibat wujudnya kumpulan tertentu yang memainkan sentimen perkauman.
Kalau di awal negara mencapai kemerdekaan sekitar akhir 1950-an dahulu Malaysia mempunyai pelbagai etnik, budaya, adat, bahasa dan agama kini ada pihak cuba mengganggu gugat supaya perpaduan itu musnah.
Menurut Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Jerald Joseph, bertahun-tahun Malaysia telah menyaksikan kehadiran invidu dan kumpulan yang cuba memainkan sentimen perkauman.
Katanya, mereka mengambil kesempatan daripada kelemahan yang ada dalam kalangan rakyat dengan meniupkan api kemarahan dengan membangkitkan isu sensitif supaya masyarakat berpecah.
“Trend ini bukan hanya berlaku di negara kita, ia turut menular di peringkat global dengan kewujudan kumpulan penganas seperti Daesh, kumpulan nasionalis Ma Ba Tha di Myanmar dan Sri Lanka.
“Kebangkitan kumpulan ini dengan idea politik populisme dan pergerakan yang jauh di barat telah mebawa cabaran baharu bagi negara seperti kita, Malaysia,” katanya berucap pada Persidangan Kebangsaan Terhadap Diskriminasi dan Hak Budaya di Malaysia di sebuah hotel di sini hari ini.
Menurut Joseph, sikap anti kumpulan berkenaan kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini adalah suatu yang membimbangkan kerana kesannya boleh memberi tekanan kepada struktur Perlembagaan.
Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan sikap dan semangat tertanam dalam diri rakyat negara ini yang mana dalam tempoh 60 tahun merdeka ada antaranya semakin melupakan adat dan budaya sendiri. – MalaysiaGazette