I

ALOR GAJAH – Sekiranya wujud unsur pengabaian, ibu bapa suspek kes kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah akan dikenakan tindakan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun.

Beliau berkata tindakan itu termaktub di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)  yang akan digunapakai untuk membolehkan tindakan di ambil ke atas ibu bapa berkenaan.

“Saya selalu mengingatkan ibu bapa jangan main-main dengan isu pengabaian kanak-kanak… sepatutnya mereka mengambil tahu pergerakan anak-anak… bila waktu sepatutnya mereka berada di rumah dan jika tiada, di mana mereka berada.

“Sudah tiba masanya kita mengguna pakai akta itu. Maka tunggulah tindakan akan kita ambil terhadap ibu bapa tersebut melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga polis,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ziarah Kasih Azizah bersempena Bulan Kebajikan Masyarakat peringkat negeri di sini, hari ini.

Tujuh remaja berusia antara 11 hingga 18 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kejadian kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur pada Khamis lepas yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu.

Azizah berkata, tindakan berkenaan bukan sahaja sebagai pengajaran kepada ibu bapa tentang tanggungjawab mereka terhadap anak-anak malah bagi melindungi golongan sasar berkenaan daripada diabaikan.

Katanya, buat masa sekarang pihaknya tidak akan membuat sebarang tindakan bagi memberikan laluan sepenuhnya kepada pihak polis melakukan siasatan terperinci terhadap kes itu, namun sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi menentukan bentuk tindakan wajar yang perlu diambil terhadap ibu bapa terlibat.

Sementara itu, katanya insiden kebakaran pusat tahfiz tersebut membuka mata ramai pihak tentang tanggungjawab yang perlu digalas dalam pembentukan masyarakat negara ini khususnya ibu bapa dan komuniti setempat bagi memastikan ia tidak berulang.

“Kita semua marah apabila kejadian ini berlaku kerana ia menyebabkan ramai anak terkorban tetapi kita juga perlu lihat bahawa kejadian ini boleh dielakkan sekiranya semua lapisan masyarakat dan ibu bapa memainkan peranan mereka dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian sentiasa memastikan kumpulan sasar antaranya warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya dan mangsa bencana mendapat bantuan yang diperlukan menerusi program ‘cari dan bantu’.

Katanya program berkenaan bukan sahaja membantu masyarakat yang memerlukan bantuan JKM malah ia membantu pihak kementerian mengenal pasti golongan sasar yang terlepas pandang agensi lain.

— BERNAMA

1 Komen

  1. kalau nak salahkan ibu bapa mereka akan menyalahkan kerajaan . sebagaimana hubungan ibubapa dengan kanak2 itu begitu juga hubungan rakyat dengan kerajaan , . kalau nak cari kesalahan orang jangan lupa kesalahan sendiri . kerajaan lah punca segalanya . jangan tutup mata , rakyat dibawah perintah dan undang2 kerajaan yang buat

Comments are closed.