Home Utama Tutup KR1M sementara untuk tambah baik

Tutup KR1M sementara untuk tambah baik

KUALA LUMPUR – Penutupan sementara Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) bertujuan untuk menambah baik kelemahan operasi kedai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, penambahbaikan melalui inisiatif KR1M 2.0, bukan sahaja menawarkan harga barangan keperluan lebih murah tetapi memberi lebih banyak pilihan barangan.

Ia juga menggalakkan keusahawanan dan membuka peluang perniagaan kepada orang ramai.

Dalam kenyataan di sini, Hamzah berkata, penambahbaikan itu juga akan menggalakkan kerjasama lebih baik antara agensi kerajaan dan membuka peluang perniagaan yang luas kepada pengilang dan pengeluar tempatan.

Jelasnya, butiran lanjut mengenai penambahbaikan itu akan diumumkan dalam masa terdekat dan ia merupakan sebahagian daripada komitmen kementerian untuk menambah baik dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada orang awam.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas semua KR1M menutup operasi sejak semalam.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan kontrak pengendali KR1M ditamatkan kerana menjual barangan pada harga lebih tinggi.

Susulan kenyataan itu, Hamzah dalam satu kenyataan memaklumkan, Mydin Holdings Sdn. Bhd. telah menarik diri sebagai pengendali KR1M selepas menguruskan kedai itu sejak 2011. – MalaysiaGazette