KUALA LUMPUR – Ratu rock, Ella mengakui lagu Peace.Love.Rindu yang dimuatkan dalam album baharunya ditujukan buat suami tercinta, Azhar Ghazali.

Peace.Love.Rindu ciptaan Lord juga menjadi tajuk album yang dilancarkan semalam di sebuah hotel sini selepas 10 tahun Ella tidak muncul tanpa album.

Pemilik nama penuh Norzila Aminuddin ini, lagu berentak perlahan hasil ilham bekas rakan sekumpulan dalam Ella & The Boys itu memiliki banyak makna seperti damai, cinta dan rindu.

“Semua lagu Ella suka namun lagu Peace.Love.Rindu ada sejarah bersama suami dan juga ramai orang.

“Ia karya yang menyentuh emosi namun tidak ada kena mengena Ella bergaduh dan berbaik semula,” katanya malu-malu penuh manja.

Wanita berusia 51 tahun itu turut memberitahu dia melancarkan album Peace.Love.Rindu itu sempena dengan Hari Keamanan Sedunia yang disambut semalam dengan membawa lagu bermesej kasih sayang.

“Judul album ini sebenarnya membawa maksud begitu mendalam buat Ella.

Peace bererti keamanan yang perlu sentiasa dipelihara, love untuk peminat yang tidak pernah berhenti menyokong dan rindu kerana saya memendam perasaan untuk menghasilkan lagu selepas sekian lama,” katanya.

Ella turut menyifatkan album tersebut terlalu istimewa dan cukup dekat di hatinya kerana menampilkan sisi berbeza dirinya dari segi susunan muzik dan pemilihan lagu.

Ditanya tempoh masa 10 tahun untuk menghasilkan album itu, Ella berkata, proses rakaman sering terganggu kerana dia sukar memilih lagu dan gemar memberi fokus kepada sesuatu perkara.

“Dalam tempoh 10 tahun itu, Ella banyak fokus pada keluarga. Jadi Ella lupakan sekejap pasal album. Selepas itu Ella fokus kepada konsert pula dan akhirnya memakan masa.

“Ella bukan jenis buat semua kerja dalam satu masa, fokus satu-satu. Proses pembikinan saja, Ella mengambil masa selama dua tahun kerana Ella menerima sebanyak 158 lagu untuk ditapis untuk disesuaikan dengan jiwa Ella,” katanya penuh ceria.

Kali terakhir Ella muncul dengan album solo berjudul Rama Rama, pada tahun 2007.

Sementara itu, album Peace.Love.Rindu yang memuatkan lapan lagu turut mendapat sentuhan komposer dan penulis lirik handalan tanah air seperti Datuk M Nasir, Edrie Hashim, Omar K, Ezra Kong, AG Coco, Sam Bunkface, Keon, Buddhi Hikayat dan Ad Samad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast