Iman Besar Al Azhar Al Sharif, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb. - foto Internet
KUALA LUMPUR – Malaysia telah menjemput Iman Besar Al Azhar Al Sharif, Prof Dr Ahmed Mohamed Al-Tayyeb untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia serta menghadiri sesi ketujuh Persidangan Antarabangsa Graduan Al Azhar di Kuala Lumpur, bulan depan.

Wisma Putra, dalam kenyataan pada Khamis malam, berkata surat jemputan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Dr Ahmed disampaikan oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Sheikh Al Azhar Al Sharif, Dr Abbas Shuman di Kaherah, Rabu.

Persidangan tersebut akan berlangsung dari 13 hingga 16 Okt ini.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak telah membincangkan hubungan dalam bidang pendidikan antara Malaysia dan institusi Al Azhar yang telah terjalin sekian lama, justeru menjadi antara pemangkin utama dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Mesir.

Kenyataan itu menyebut timbalan menteri luar itu menyatakan penghargaan di atas peluang pengajian yang disediakan kepada sejumlah besar pelajar Malaysia di institusi Al Azhar sejak tahun 1940-an.

Selain itu, Reezal Merican turut memohon pihak Universiti Al Azhar meneliti isu visa untuk pelajar Malaysia di Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah) sebelum memulakan pengajian di universiti berkenaan.

Pada masa ini, seramai 11,102 pelajar Malaysia sedang menuntut di Mesir dalam bidang pengajian Islam, perubatan dan pergigian dengan 7,570 daripada mereka di Universiti Al Azhar.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast