KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, veteran automotif, Dr. Li Chunrong dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) bagi menggantikan Datuk Ahmad Fuaad Kenali yang telah meletakkan jawatan.

Pengumuman tersebut dibuat oleh DRB-Hicom Bhd. (DRB-Hicom) dan Zhejiang Geely Holdings Group (Geely) hari ini.

Chunrong akan mengambil alih peranan sebagai CEO bermula 1 Oktober ini dan bakal menjadi orang penting dalam membangunkan kenderaan baharu Proton.

Beliau yang memiliki 30 tahun pengalaman dalam industri automotif dan pernah bekerja dengan pelbagai jenama terkenal antarabangsa seperti Honda, Kia dan Dongfeng dengan memegang pelbagai peranan penting.

Timbalan PONSB ketika ini, Datuk Radzaif Mohammed kekal di jawatannya dan akan menyokong Chunrong dalam memulihkan semula Proton.

Chunrong berkata, beliau yakin Proton akan menjadi jenama pertama tempatan dan menerajui pasaran Asean tidak lama lagi.

“Proton kini sudah mempunyai akses kepada sinergi global serta sokongan kepakaran dan kewangan dari keluarga Geely.

“Saya amat yakin Proton akan melalui hari-hari yang indah tidak lama lagi,” katanya.

Pada peringkat kumpulan, Proton Holdings Bhd., Datuk Seri Syed Faisal Albar kekal sebagai pengerusi bersama dua pengurusan kanan DRB-Hicom, Shaharul Farez Hassan dan Amalanathan sebagai nominee.

Manakala Geely pula mencalonkan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangannya, Daniel Donghui Li serta Naib Presiden Kumpulan Geely Auto dan Ketua Pegawai Teknologinya, Feng Qi Feng sebagai nominee ahli lembaga pengarah Proton Holdings.

Kesemua nominee akan duduk di dalam lembaga pengarah PONSB bersama Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Geely, Dr. Nathan Yu Ning dan bekas Pengerusi dan CEO Skoda Auto, Winfried Vahland.

Syed Faisal, Farez, Amalanathan, Daniel dan Nathan juga akan duduk dalam lembaga pengarah Proton Edar Sdn. Bhd., sebuah sayap pengedaran Proton.- MalaysiaGazette