KUALA LUMPUR – Minat dalam perniagaan bukan perkara baharu buat wanita bernama Siti Nor Shakinah Ibrahim ini. Bermula dengan membuka gerai di tepi jalan, dia pernah menjual nasi ayam Mexico dan sup kaki ayam selama sembilan bulan.
Tidak mahu hanya sekadar hobi, Siti Nor Shakinah, 27, kini menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber rezeki yang mendatangkan pulangan lumayan.
Ini dibuktikan apabila dia mampu tersenyum lebar setelah penat lelah yang dilalui sejak Ramadan tahun lalu apabila berjaya membina jenama Mr. Shark yang menjual teh ais cincau.
Gadis kelahiran Taiping yang memiliki Ijazah Sains Haiwan dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menganggap kesusahan yang dihadapinya berbaloi apabila menempa nama dalam bidang perniagaan minuman.
“Saya bukannya peminat teh o atau teh ais sebelum ini. Tapi saya kaji kenapa rakyat Malaysia suka minum minuman teh ais.
“Jadi timbul untuk menghasilkan perniagaan teh ais cincau di tepi jalan. Bermula dengan kios di jalanan, saya berjaya mengembangkan perniagaan kepada ejen-ejen yang berminat.
“Nama Mr. Shark dipilih pula kerana saya tidak mahu orang tahu pemiliknya adalah wanita,” katanya kepada MalaysiaGazette sambil memberitahu modal permulaan untuk memulakan perniagaan hanya RM200.
Siti Nor Shakinah memberitahu, produk tersebut memberi pulangan lumayan walaupun ada segelintir berangggapan malu untuk berniaga di tepi jalanan.
Jelas anak bongsu lima beradik ini, jualannya hari ini termasuk 20 ejen sedia ada mencecah RM50,000 hingga RM80,000 sebulan.
Ini kerana dia mampu menjual 20,000 cawan teh ais cincau itu dalam sebulan.
Katanya lagi, ketika ini dia menerima hampir 300 permohonan yang dalam senarai menunggu untuk menjadi ejen di bawahnya.
“Sebelum ini, modal yang saya kenakan adalah RM3,000 namun untuk ejen-ejen akan datang, modal yang perlu dikeluarkan antara RM7,000 hingga RM10,000.
“Ini kerana saya akan membekalkan mesin perah teh automatik keluaran Mara dan peralatan kioks selain cara membuat pemasaran, kursus sehari membuat teh ais dan mengendalikan akaun.
“Pada masa sama, pihak saya juga telah bekerjasama dengan Yayaan Bina Usaya yang akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada bakal usahawan,” katanya yang memiliki sifat ceria.
Mengorak langkah jauh, Siti Nor Shakinah kini membekalkan daun teh sendiri dengan pengeluaran menerusi dua kilang di sekitar ibu kota dengan menggunakan resepi sendiri.
“Ramai pembeli selalunya ketagih selepas minum Mr. Shark. Ini kerana teh ais saya pekat, manis dan memiliki cincau sebagai kelainan.
“ Malah rasa manisnya tidak kurang walaupun lama berada di dalam ais,” katanya yang merancang membuka kioks di pusat membeli-belah pula pada awal tahun depan.
Harga teh ais cincau Mr. Shark itu dijual pada harga RM4 bagi cawan kecil dan RM6 untuk cawangan besar.
“Saya gembira dan bersyukur melihat perkembangan jualan yang berjaya melahirkan ramai ejen berpendapatan tinggi. Ada seorang ejen kami meraih pendapatan bersih sebanyak RM7,500 tidak sampai sebulan meniaga,” katanya yang gemar membantu ejennya menjual di kioks-kioks.
Siti Nor Shakinah juga meniaga dengan membuka van di Downtown Danau Kota, Setapak di sini setiap malam.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut atau berminat menjadi ejen Mr. Shark boleh menghubungi talian 0195144431. – MalaysiaGazette