Keadaan terowong sungai projek lencongan barat ketika banjir melanda baru-baru ini.

KANGAR – Kerajaan negeri bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua banjir, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Perpaduan Negeri, Rela Ahmad.

Beliau berkata keadaan cuaca sekarang yang redup diikuti hujan sekali sekala dibimbangi kemungkinan berlaku banjir.

“Berikutan itu saya akan meminta jasa baik Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man untuk memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai persiapan yang perlu dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan bahawa negeri-negeri di utara Semenanjung dijangka menghadapi banjir gelombang kedua.

Banjir di Perlis yang baharu lepas melibatkan 2,846 mangsa daripada 772 keluarga yang dipindahkan di 25 buah pusat pemindahan.

Rela berkata dalam mesyuarat jawatankuasa banjir akan datang, beliau akan menyarankan agar semua jabatan dan agensi kerajaan turut memainkan peranan.

“Jika sesebuah jabatan atau agensi menyediakan petugas antara lima hingga 10 orang, ia akan meringankan tugas memberi pertolongan kepada mangsa,” katanya.

— BERNAMA