Gambar hiasan

SINGAPURA – Menyelusuri kawasan Bukit Batok, terdapat sebuah kafe yang dihiasi dengan pop art dan lukisan adiwira serta petikan kata-kata hikmah.

Pelayannya sibuk melayan pelanggan manakala kafe meriah dengan pelanggan yang berbual sesama sendiri sambil menikmati secangkir kopi panas.

Ini adalah pemandangan biasa sebuah kafe namun apa yang uniknya pada kafe ini adalah pelayan dan pelanggannya adalah warga emas, demikian lapor The Straits Times.

Para pelayan kafe tidak dibayar gaji sebaliknya para sukarelawan yang bertugas untuk memasak, membancuh kopi dan menjadi teman kepada warga emas lain yang mengunjungi kafe berkenaan.

Kafe yang secara rasminya dilancarkan pada hari ini terletak di Youth Powerhouse, Blk 417 Bukit Batok West Ave 4.

Youth Powerhouse diuruskan oleh sebuah badan kebajikan, Reach bermatlamat untuk membawa warga emas yang tinggal berseorangan atau ‘berisiko terasing dari segi sosial’ keluar untuk bertemu kawan baharu, menikmati hidangan sedap dan belajar bersama.

Menurut Reach, lima pasukan terdiri daripada lima hingga tujuh sukarelawan menguruskan kafe tersebut pada setiap Jumaat bermula jam 9 pagi sehingga tengahari.

Menu berubah mengikut pasukan yang bertugas pada minggu tersebut.

Kafe unik itu juga mengamalkan model ‘bayar seikhlas hati’.

Menurut Menteri Kanan Alam Sekitar, Sumber Air dan Kesihatan, Dr. Amy Khir, idea kafe ini diambil daripada sebuah kafe di Jepun, Ibasho Café yang menghimpunkan warga tua dalam menjadikannya sebuah tempat pelbagai generasi.

“Daripada menunggu untuk menerima (pertolongan), warga-warga emas ini didorong untuk memberi. Ini menggalakkan warga emas kita untuk menjalani usia tua dengan lebih bermakna, sihat dan aktif,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Hong Kah North berharap terdapat sekurang-kurangnya dua lagi kafe sedemikian dibuka di kawasan tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast