Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut tidak melepaskan peluang menunjukkan kebolehannya bermain permainan video PS4 ketika hadir pada Karnival Sukan Komuniti Ceria Peringkat Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Taman Maluri, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 07 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Sebagai usaha bagi menggalakan masyarakat belia di bandar sentiasa menjalin hubungan ukhuwah antara satu sama lain Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengambil inisiatif mewujudkan Karnival Sukan Komuniti Ceria.

Menerusi karnival yang diadakan hari ini Pengerusi Majlis Belia kawasan Setiawangsa, Mohd Khairunizam Salleh berkata, penganjuran karnival seperti itu sangat baik kerana ia mampu mendekatkan anak muda menerusi penarapan pebagai program.

Katanya, bagi tujuan itu MKN mengeluarkan bajet untuk melaraskan karnival tersebut dengan dibantu oleh beberapa NGO dan agensi kerajaan untuk menjayakannya.

“Karnival ini dibuat di lima kawasan Parlimen.

“Selain Titiwangsa ia turut diadakan di Parlimen Bandar Tun Razak, Parlimen Lembah Pantai, Parlimen Setiawangsa dan Parlimen Wangsa Maju,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian karnival berkenaan di sini hari ini.

Mohd Khairunizam Salleh

Majlis Perasmian itu disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa.

Dengan mengambil contoh remaja yang terlibat dalam insiden membakar tahfiz Ittifaqiyyah di Keramat hingga mengorbankan lebih 20 nyawa baru-baru ini Khairunizam menjelaskan, penganjuran karnival itu sebahagian daripada langkah mendidik remaja dan belia agar tidak terjebak dalam kancah penagihan dadah.

“Lihat sajalah remaja yang dilibatkan dalam insiden kebakaran itu, mereka telah terjebak dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya dalam usia yang muda.

“Sebab itu MKN mengambil inisiatif untuk melaksanakan program ini dan Majlis Belia pula yang menyelaraskannya,” ujarnya.

Pelbagai aktiviti diatur terutama dalam mewujudkan semangat kesukanan dan antara yang dipertandingkan adalah seperti perlawanan futsal, sepak takraw, bola jaring dan banyak lagi, katanya. – MalaysiaGazette