WASHINGTON- Satu catatan tangan dipercayai tulisan Stephen Paddock mengenai pengiraan untuk mendapatkan ketepatan sasaran dan jumlah yang terbunuh dilaporkan ditemui di dalam bilik hotel.
CBS melaporkan catatan itu ditemui oleh pegawai polis Las Vegas, David Newton yang menyerbu bilik Paddock selepas melepaskan tembakan dari tingkat 32 Hotel Mandalay Bay malam Ahad lalu.
Dalam temu bual menerusi rancangan ‘60 Minutes’ Newton memberitahu, beliau menjumpai nota Paddock itu di atas meja berhampiran tempat dia berdiri melepaskan tembakan.
“Dia menulis jarak, ketinggian dari tingkapnya, tahap kejatuhan peluru ke atas orang ramai. Dia mencatatkan semua itu dan menentukan posisinya untuk menembak semua sasarannya dari situ,” beritahu Newton.
Catatan itu menjelaskan mengenai motif sebenar kes tembakan terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat yang membunuh 59 orang dan mencederakan 515 yang lain walaupun sudah hampir seminggu siasatan dilakukan.- MalaysiaGazette