KUALA LUMPUR – Sebanyak 127 ekor tenggiling yang ditemui di sebuah premis di Hosba, Kubang Pasu, Kedah pada Sabtu lalu disita.
Penemuan itu hasil serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) di lokasi tersebut pada pukul 6.30 pagi.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, tenggiling itu didapati tidak memiliki dokumen yang sah daripada Jabatan Perhilitan.
Susulan itu, dua lelaki tempatan dan dua lagi lelaki warga Thailand telah ditangkap untuk siasatan lanjut.
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 68(2)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] bagi menyimpan Tenggiling (Manis javanica) iaitu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua [Akta 716] melebihi dua puluh kepala, tanpa permit khas.
Jika disabit kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.00 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Jabatan Perhilitan memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang menjalankan aktiviti pemburuan haram hidupan liar agar berhenti melakukannya serta merta.
“Kami komited dalam konservasi hidupan liar terancam di negara kita dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan spesies hidupan liar kita terpelihara.
“Hidupan liar adalah khazanah negara yang tidak ternilai dan eksploitasi hidupan liar perlu dikawal supaya mengelakkan kepupusan dan mengekalkan keseimbangan ekosistem,” katanya. – MalaysiaGazette