nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia Richard Riot didakwa sudah mengelirukan pelbagai pihak termasuk pekerja-pekerja negara ini, para peguam dan kesatuan-kesatuan sekerja dengan kenyataan beliau berhubung pemberhentian pekerja Malaysian Airlines System Berhad (MAS).

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) berkata, menteri itu ada menyebut kes pembuangan 3,600 pekerja MAS tidak boleh dirujuk ke Mahkamah Industri atas sebab MAS sudah bankrap.

Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan (IR) memberi alasan lain iaitu MAS ada tempoh morotarium.

NUFAM berkata, kenyataan itu tidak masuk akal kerana jika ada isu morotarium, mengapa pula proses tindakan kes di bawah Seksyen 20 boleh difailkan oleh pihak Jabatan Perhubungan Perusahaan pada awalnya.

“Adakah menteri dan pengarah IR tahu bahawa semua kes ini sudah difailkan pada tahun 2015?

“Tahukah anda 3,600 pekerja ini sudah menggunakan landasan yang diberikan oleh kementerian ini sendiri. Jadi tidak gunalah ruang keadilan itu dipakai jika selepas dua tahun baru hendak bagi alasan MAS sudah bankrap dan sebagainya,” kata NUFAM dalam satu kenyataan di sini.

Tegasnya, moratorium itu bukan menjadi alasan Kementerian Sumber Manusia untuk melambatkan kes dirujuk tetapi hanya tempoh untuk kes dirujuk.

NUFAM mendakwa banyak lagi kes MAS sudah dirujuk ke mahkamah dan persoalannya adakah kes-kes tersebut sudah tidak laku?

“Ini menimbulkan persoalan bagaimana Jabatan Kementerian Sumber Manusia berfungsi hari ini, untuk merujuk kes kes pembuangan pekerja mengikut undang-undang yang telah disediakan oleh negara.

“Jika benar MAS bankrap dan kes tuntutan tak boleh diteruskan, sebaiknya kementerian maklum kepada semua pekerja ini kerana kes sudah difailkan sejak dua tahun lalu. Kenapa buang masa pekerja selama dua tahun?

“Tindakan Kementerian Sumber Manusia menampakkan penganiayaan terhadap pekerja-pekerja ini, malah lebih teruk daripada apa yang dilakukan oleh MAS.

“Hak pekerja untuk menuntut keadilan adalah melalui Mahkamah Perindustrian dan menteri pula diberikan kuasa veto untuk menutup kes.

“Mengapa menteri ada kuasa untuk menggunakan alasan bankrap agar MAS tidak boleh dikenakan tindakan undang undang? Adakah ini bermaksud mana mana syarikat kerajaan atau GLC boleh menutup kes pembuangan pekerja dengan sewenang-wenangnya,” soal NUFAM.

Kesatuan itu menyifatan kenyataan Richard itu merupakan satu detik hitam kali kedua buat 3,600 pekerja MAS selepas menunggu dua tahun.

“NUFAM juga meminta penjelasan menteri mengapa pihak pengurusan MAS masih boleh menjadi pengarah di dalam syarikat Malaysia Airlines Berhad (MAB) jika benarnya syarikat penerbangan negara telah muflis,” katanya. – MalaysiaGazette