Polis membawa seorang lelaki warga Israel, Shalom Avitan berusia 38 tahun untuk didakwa atas pertuduhan memiliki enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 12 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR- Perbicaraan kes berkaitan senjata dan peluru yang dihadapi rakyat Israel, Avitan Shalom ditetapkan selama 12 hari bermula Januari tahun depan.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh perbicaraan pada 6 hingga 9; 13 hingga 16 dan 20 hingga 23 Januari.

Ini selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam meminta supaya mahkamah menetapkan proses perbicaraan dijalankan dalam lingkungan dua minggu dan dipersetujui oleh pihak pembelaan.

Tambah beliau, pihak pendakwaan bakal memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.

Sebelum ini, mahkamah yang sama menetapkan perbicaraan selama sembilan hari bermula hari ini sehingga Oktober.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditunda kerana Mustaffa terlibat dengan perbicaraan kes 1Malaysia Develompent Bhd.

Sebelum ini Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam Bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Mahkamah Sesyen tidak benarkan rakaman CCTV kes Avitan Shalom didedahkan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast