Mohamad Fuzi Harun

KUALA LUMPUR – Polis tidak ada mengeluarkan permit untuk  mengadakan himpunan pada 14 Oktober ini di Petaling Jaya dan tindakan akan diambil sekiranya ia diteruskan, kata Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Mohamad Fuzi berkata, keputusan itu dibuat kerana ada bantahan daripada penduduk setempat.

Malah terdapat laporan polis dibuat berhubung perhimpunan itu.

“Kita telah membuat keputusan semalam, kita tidak akan memperakukan permohonan yang dipohon itu atas banyak alasan.

“Yang pertama kita ada beberapa laporan polis yang dibuat penduduk setempat membantah perhimpunan itu diadakan… Difahamkan kita sudah menerima tidak kurang daripada empat laporan polis kerana isu kesesakan lalu lintas yang akan menyukarkan penduduk setempat,” kata beliau semasa sidang media di Pusat Latihan Polis (Pulapol) hari ini.

Selain itu, faktor tempat yang terlalu kecil juga menyebabkan perhimpunan itu tidak sesuai diadakan di tapak tersebut, kata Mohamad Fuzi.

“Yang kedua, perhimpunan itu saya dimaklumkan antara 20,000 orang dijangka hadir tapi kapasiti tempat itu sebenarnya tidak boleh tampung, jadi bayangkan tempat yang sempit sudah tentu akan menjadi kesesakan sebab ia tidak jauh dari lebuh raya,” ujarnya.

Bagaimanapun, Mohamad Fuzi berkata, polis mencadangkan kepada penganjur supaya menukar lokasi ke Stadium Kelana Jaya yang mampu memuatkan ramai orang dan mempunyai lebih banyak akses.

Mohamad Fuzi juga berkata, langkah memindahkan lokasi juga akan memudahkan pihak penganjur menyusun program, selain memudahkan pihak polis membuat kawalan serta mengelak perkara buruk daripada berlaku.

“Saya rasa lebih tersusun dan mereka mudah mengadakan kawalan dan kita pun mudah buat kawalan.

“Maklumlah perhimpunan sekarang macam-macam boleh berlaku, kalau perkara buruk berlaku nanti kita yang dipersalahkan,” ujarnya.

Jika penganjur masih berdegil, polis akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang.

“Terpulang kepada mereka, kita ada undang-undang APA (Akta Perhimpunan Aman) dan kita akan ambil tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” ujarnya.

Pembangkang merancang untuk mengadakan himpunan yang diberi nama ‘Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ di Padang Timur, Petaling Jaya pada Sabtu ini.

Perhimpunan itu akan dihadiri oleh PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sengaja buat di tempat kecil tu.. supaya nampak bersesak-sesak walaupun kehadiran tak ramai.. tak la malu nanti.

Comments are closed.