Safiq Rahim

JOHOR BAHRU – Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak menyalahkan Safiq Rahim susulan insiden kad merah dalam perlawanan menentang Hong Kong, malam Selasa.

Sebaliknya, Tunku Mahkota Johor menegaskan kesemua pasukan perlu bertanggungjawab sekali gus tidak hanya meletakkan kesalahan ke atas seorang pemain sahaja.

“Tak berapa tinggi sangat.. harapan. Bermain dengan 10 pemain, apa kita boleh buat.

“Saya tak salahkan dia. Bukan dia seorang perlu disalahkan, (sebaliknya) semua,” katanya memetik laporan Sinar Online.

Baginda berkata demikian ketika menjawab soalan ahli panel dalam satu sesi soal jawab di JDT Cafe di sini malam tadi.

Tunku Ismail turut mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Pengurus merangkap ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Nelo Vingada dipecat.

“Jika esok Vingada dipecat, anda akan tetap mempunyai masalah yang sama.

“Realiti, masa tubuhkan kelab (JDT), kami perlukan dua ke tiga tahun untuk terapkan winning mentality.

“Jadi apa anda jangka untuk (Vingada) buat dalam masa dua tiga bulan?. Beri masa untuk Vingada,” katanya.

Selaku Presiden FAM, beliau mengambil tanggungjawab penuh terhadap prestasi semasa pasukan kebangsaan.

Malah Tunku Ismail meletakkan komitmen untuk bertindak memperbaiki segala kelemahan yang wujud dalam bola sepak negara.

Sesi soal jawab bersama Tunku Mahkota Johor itu disertai oleh ahli panel jemputan antaranya Abu Bakar Atan, Tabah Syazwan dari Media Prima Berhad yang merupakan pengulas sukan bola sepak, Vijhay Vick dari FourFourTwo dan Ooi Kin Fai dari Goal.com yang akan mewakili penyokong bola sepak tempatan.

Terdahulu, Malaysia tewas kepada Hong Kong 0-2 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast