KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Peter Bellew dilaporkan akan kembali ke syarikat lamanya, Ryanair pada 1 Disember ini sebagai Ketua Pegawai Operasi susulan peletakan jawatan Michael Hickey.

Menurut akhbar The Irish Times, Bellew akan bertanggungjawab terhadap operasi penerbangan, urusan ‘ground’ dan kejuruteraan selain mempunyai tanggung jawab khusus di dalam melahirkan juruterbang.

Beliau juga dilaporkan bertanggungjawab menyediakan latihan dan pengembangan kerjaya bagi memastikan kelemahan jadual yang berlaku terhadap syarikat tersebut sejak awal September lalu tidak lagi berulang.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Peter Bellew.

Memetik sebuah kenyataan, Ketua Eksekutif Ryanair, Michael O’Leary dilaporkan berkata, Bellew akan menerajui transformasi penting syarikat tersebut.

“Beliau akan menerajui transformasi penting yang mana kami akan memberi penghargaan dan lebih banyak berinteraksi dengan juruterbang-juruterbang kami, menambah baik persekitaran perkerjaan dan pembangunan karier dalam tempoh beberapa tahun akan datang sejajar dengan pertumbuhan 600 pesawat serta peluasan trafik dan pelanggan seramai 200 juta orang setahun,” katanya.

Mengulas mengenai pelantikannya, Bellew berkata, beliau gembira dapat pulang ke tanahair dan Ryanair.

“Saya teruja dapat pulang ke tanahair sendiri serta Ryanair dan bersedia untuk mengambil cabaran mengembangkan operasi dengan lebih mapan.

“Saya tidak sabar untuk bekerja dengan semua pasukan dan krew yang saya kenali sejak dahulu lagi di dalam usaha membangunkan pertumbuhan kepada 600 pesawat dalam tempoh enam tahun lagi,” katanya.

Bellew bersama Ryanair dan bertugas sebagai Pengarah Operasi Penerbangan sehingga 2014 sebelum beliau menyertai MAS sebagai Ketua Pegawai Operasi.

Beliau dilantik sebagai CEO MAS pada Julai 2016 dan baru-baru ini membuat kenyataan gembira bersama syarikat penerbangan nasional itu.

Bellew juga membuat kenyataan tidak akan meninggalkan MAS yang sedang menjalani proses transformasi bagi memulihkan keuntungannya.

MAS dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.-MalaysiaGazette