Ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM), S. Arulchelvan (tengah) dengan sebahagian 6 keluarga membuat demonstrasi mengenai pengusiran paksa 6 keluarga bekas kakitangan Hospital Kajang di Kuarters Kakitangan Hospital Kajang, Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 23 OKTOBER 2017

KAJANG – Sebilangan penduduk di kuaters lama Hospital Kajang hari​ ini menagih janji daripada kerajaan negeri ekoran arahan merobohkan enam buah rumah di kawasan itu.

Menurut Pengerusi Penduduk Bekas Kakitangan Awam Hospital Kajang, Othman Ismail, mereka tidak berpuas hati dengan arahan itu kerana janji kerajaan negeri untuk memberikan sebidang tanah kepada mereka masih belum tertunai.

Pengerusi Penduduk Bekas Kakitangan Awam Hospital Kajang, Othman Ismail bercakap kepada media mengenai pengusiran paksa 6 keluarga bekas kakitangan Hospital Kajang di Kuarters Kakitangan Hospital Kajang, Kajang. foto FAREEZ FADZIL, 23 OKTOBER 2017

Ini kerana arahan merobohkan rumah berkenaan sudah dikeluarkan selepas tempoh empat hari selepas Deepavali tamat hari ini.

“Kami berharap sangat jawapan daripada orang berkenaan kerana tanah enam lot itu telah diberikan kepada kami. Kami amat berharap jawapan dalam masa terdekat.

“Kalau kami sudah dapat tanah itu, kami dengan rela hati keluar daripada sini,” katanya kepada media hari ini.

Sebelum ini ADUN Kajang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pernah berjanji bahawa mereka akan campur tangan dalam isu berkenaan.

Dalam tempoh tiga bulan, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor didakwa akan memutuskan lokasi alternatif untuk semua enam keluarga ini berpindah.

Justeru itu, mereka merayu agar kerajaan negeri Selangor menangguhkan operasi perobohan sehingga mereka mendapat surat tawaran penempatan semula tidak lama lagi.

“Pada 4 Oktober lalu, Wan Azizah ada turun dan kita ada bagi memorandum mengenai keperluan kami di sini.

“Dalam media ada kata bahawa dia akan tolong kami, dan ambil inisiatif untuk bagi kami masa. Tetapi sampai hari ini kami tidak terima apa-apa khabar berita daripada beliau,” katanya lagi.

R. Shamugamnathan pula mendakwa sumbangan RM300 sebulan selama setahun yang diberikan kerajaan negeri tidak mencukupi untuk mereka menyewa rumah lain.

“Saya rasa dia (Wan Azizah) dapat bantu kami kerana dia adalah ADUN Kajang. Mungkin mereka boleh tolong kami penduduk di sini.

“Kalau roboh kami mahu duduk dimana. Rumah sewa pun belum dapat lagi.

“Harga sewaan pun mencecah RM1,000 lebih sebulan. Duit yang diberikan hanya RM300 sebulan. Bagaimana kami nak menyewa, rumah setinggan pun susah nak dapat kalau jumlah begitu,” jelas beliau.

Mereka yang mendiami tapak kuarters lama Hospital Kajang di Jalan Sungai Jelok ini diarahkan berpindah bagi kerja-kerja pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan terdapat lapan keluarga masih menetap disini sejak 1930 apabila kuarters kakitangan dirobohkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.