Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad perlu menjawab sama ada individu dalam sebuah video rakaman video tertutup (cctv) di Bali itu adalah beliau atau sebaliknya, desak DAP.

Perkara itu penting untuk dijawab Dzulkifli kerana ia bagi menjama nama baik agensi tersebut, tegas Pengerusi Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo.

“Dzulkifli perlu menjelaskan perkara ini dan meredakan spekulasi yang sedang berlegar berhubung individu berkenaan dalam klip video tersebut.

“Jika itu bukan beliau, maka saya gesa beliau menafikannya secara terbuka,” kata Gobind semasa sidang media di Parlimen hari ini.

Menurut Gobind, sekiranya Dzulkifli tidak tampil dengan sebarang penjelasan dibimbangi keyakinan orang ramai terhadap agensi tersebut akan menerima kesan dan ia sama sekali tidak boleh dikompromi.

“Ini adalah demi kebaikan agensinya sebagai seorang yang menyandang jawatan tersebut sama ada dalam SPRM, PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau agensi siasatan yang lain, perlu sedar bahawa imej agensi mereka tidak boleh dikompromi sedemikian rupa.

Kontroversi tercetus selepas viral dua rakaman video cctv yang menunjukkan Dzulkifli dan seorang wanita berkahwin berpegangan tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali.

Dalam video tersebut, seorang lelaki yang kelihatan seperti Dzulkifli berpegangan tangan dengan seorang wanita keluar dari sebuah hotel di Bali. Video itu kemudian diulang dalam gerakan perlahan. Satu lagi klip video menunjukkan pasangan itu di sebuah restoran.

Video itu juga menunjukkan bilik di mana Dzulkifli didakwa tinggal di Bali pada Julai lalu dan klip pembantunya membawa bagasi.

Klip video sebelum ini menunjukkan tiket penerbangan, dokumen pendaftaran hotel dan gambar lain pasangan itu di Bali serta bagasi yang dibawa keluar dari sebuah hotel. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.