Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Yusuf Azmi bersama Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM, Ali Salimin tiba di Mahkamah Kajang ekoran dakwaan menceroboh pusat penyimpanan kenderaan milik Syarikat AGR Auto Trade Sdn Berhad (AGR).‬ foto HAZROL ZAINAL, 24 OKTOBER 2017.

KAJANG – Muhamad Yusuf Azmi dan Ali Salimin didakwa di Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas dua pertuduhan melakukan khianat dan pencerobohan sebuah stor kereta di sini pada Julai lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang masing-masing berusia 27 dan 50 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh yang merupakan Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Ketua Operasi Unit Tindakan Khas PPIM itu didakwa dengan niat bersama telah melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar Stor Syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 1926A, Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13 di sini pukul 3.30 petang pada 10 Julai lalu.

Berikutan itu kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah pada tempat dan tarikh sama antara jam 3.30 petang hingga 7.30 malam.

Bagi pertuduhan kedua itu kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mereka dibebaskan masing-masing dengan jaminan RM5,000 dan mahkamah menetapkan 24 November untuk sebutan semula.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Tharih Afendi. – MalaysiaGazette